Kenangan Manis Kembara Durian 2020 di Sahom Valley Resort, Kampar, Perak.

Setelah 6 bulan berlalu, ramai sahabat yang bertanya bila lagi hendak buat Kembara Durian seterusnya. Kebiasaannya pada hujung tahun lepas atau awal tahun ini, musim durian di Kg Sahom kembali lagi. Mungkin merajuk dengan Covid 19 dan PKP, buah tidak menjadi. Oleh kerana terlalu merindukan acara sedemikian, saya teruja untuk mencatatkan kenangan manis acara lepas buat tatapan kita semua.

Deruan air Sungai Dipang di Camping Village milik Sahom Valley Resort sungguh mengasyikkan. Disinilah lokasi dimana Kembara Durian 2020 telah diadakan pada bulan Julai 2020 yang lalu. Seramai lebih 200 orang telah hadir di acara tersebut. Ianya adalah diluar jangkaan kami sebenarnya memandangkan SOP PKPB yang ketat terpaksa dipatuhi.

Setelah lock down hampir 4 bulan bermula bulan Mac 2020, ramai yang teruja untuk bercuti bersama keluarga tercinta. Pemilihan tapak di Camping Village Sahom Valley Resort adalah tepat sekali walaupun setahun sebelumnya Kembara Durian 2019 diadakan di kawasan Perkarangan Dewan Sahom Valley Resort. Suasana kehijauan dusun durian sekitarnya menepati tema acara kali ini iaitu Makan Durian Dalam Dusun.

Video clip sumbangan Gencos TV yang meliputi keseluruhan acara Kembara Durian 2020.

Peserta dari seluruh pelusuk negeri telah ramai-ramai datang memeriahkan suasana. Pelbagai jenis durian telah dihidangkan dan semua pengunjung dapat makan sampai puas. Buah durian Kg Sahom adalah antara buah durian kampung yang terbaik selain dari Batu Kurau di Negeri Perak ini. Buah rambutan dan manggis juga turut dihidangkan bersama-sama serawa durian yang dimakan bersama pulut yang menjadi kegemaran pengunjung. Sesi makan sampai puas diadakan dari jam 10 pagi hingga jam 3 petang. Manakala sebelah malamnya diadakan BBQ night dengan acara ice-breaking, pertunjukan tarian Sewang dan sesi beramah mesra bersama yang hadir.

Tetamu dari Korea turut hadir. Katanya ini pertama kali rasa buah durian dan sungguh enak. (Gambar ihsan dari Pn Jun)
Bersama dengan tetamu yang hadir. Kiri ke Kanan: Tn Hj Masri (Pengetua SMK Cenderiang), Pn Jun (Wakil Angkasa), tetamu dari Korea serta Tn Hj Shariff Ali (Pengerusi Koperasi Keluarga Rahmah Kampar dan juga pengusaha Sahom Valley Resort). (Gambar ihsan dari Pn Jun)

Oleh kerana tapak perkhemahan agak terhad, maka sebahagian pengunjung terpaksa menginap di chalet-chalet di Sahom Valley Resort yang jaraknya 1.5km dari Camping Village, dimana acara ini diadakan. Mereka dibawa ke Camping Village dengan menaiki kereta pacuan 4 roda memandangkan jalan yang becak menyukarkan kereta biasa ke sana. Menaiki kereta pacuan 4 roda juga beri satu pengalaman terutama bagi anak-anak yang ditemani ibu bapa mereka.

Di Sahom Valley Resort terdapat tiga pilihan penginapan untuk pengunjung, samada menginap di Kampung Warisan, Kampung Tepian Sungai atau Kampung Buluh. Kesemua unit-unit di Kampung ini penuh ditempah oleh pengunjung yang sama-sama menjayakan Kembara Durian ini.

Sahabat bermotoran dari Jabatan Bomba malaysia Putrajaya turut meriahkan acara. (Gambar ihsan dari pengunjung)

Malang sekali tarikh acara ini diadakan adalah pada musim hujan. Hujan yang berterusan lebih dua minggu telah menyebabkan jalan ke Camping Village agar berbecak, tetapi itu tidak melemahkan semangat pengunjung untuk sama-sama menikmati buah-buahan tempatan yang segar dari dusun. Walaupun sejumlah wang ringgit dibelanjakan untuk menambak jalan ke dusun dengan batu-batu kecil tapi apa kan daya hujan yang tak henti-henti menyebabkan jalan menjadi becak yang agak teruk juga. Ada ketika kami terpaksa menolak kereta-kereta yang tersangkut disebabkan jalan licin.

Teruja melihat kemeriahan pengunjung. (Gambar ihsan dari pengunjung)
Bergambar bersama pengunjung sebagai kenangan. (Gambar ihsan dari Pn Jun)

Pengunjung yang bermalam tidak melepaskan peluang beriadah di Sahom Valley Resort pada keesokan harinya. Antara aktiviti riadah kesukaan ramai ialah berkayak, flying fox, menunggang kuda, memancing dan bermandi-manda di Sungai Dipang. Pastinya kenangan 2 hari 1 malam di Sahom Valley Resort ini membawa kenangan yang manis pada mereka apabila pulang ke rumah masing-masing.

Panas badan setelah makan durian sepasang suami isteri sejukkan badan dengan berendam dalam sungai. (Gambar ihsan dari pengunjung)

Acara ini pastinya tidak dapat diadakan jika tiada rakan-rakan yang turut bantu menjayakannya. Disini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara Nas dari Gencos TV dan Pn Nonie yang bantu mempromosi acara ini melalui media sosial. Kepada pelajar SMK Cenderiang yang diketuai oleh Pengetua nya Tn Hj Masri yang tanpa penat lelah membantu hulur tenaga kerja beberapa hari sebelum hari acara diadakan. Juga kepada semua rakan-rakan lain yang membantu secara langsung dan tidak langsung, hanya Allah sahaja dapat membalas pengorbanan anda semua.

Sukarelawan dari SMK Cenderiang turut bantu persiapan tapak Camping Village sehari sebelum hari acara.
Mengalas perut untuk pekerja yang mengejar masa menyiapkan tapak acara.
Pembinaan “make shift toilet” yang mana dindingnya diperbuat dari buluh, bahan yang terdapat disekitar tapak
.

Antara tujuan Kembara Durian 2020 ini diadakan di Camping Village adalah untuk mempromosikan lokasi ini kepada orang ramai yang berminat untuk berkhemah di tepi sungai. Keluasan tapak 4 ekar yang dipenuhi dengan pokok durian dan pokok buluh memberi teduhan dari panas cahaya matahari. Air sungai yang jernih dan sejuk pasti memukau pengunjung yang datang. Kemudahan bilik air berpusat kini ada disediakan dan bekalan elektrik dijangka akan diperolehi dalam masa terdekat ini.

Terdapat sebuah penempatan orang asal dari puak semai yang terdapat tidak jauh dari tapak dan pengunjung boleh berjalan kaki sahaja sekiranya berminat untuk melawat kampung mereka.

Rehat sebentar setelah penat bekerja.
Menikmati pemandangan yang indah sekitar Sahom Valley Resort. (Gambar ihsan dari Pn Jun)
Pengunjung juga berkesempatan beriadah. (Gambar ihsan dari pengunjung)
Flying fox antara aktiviti riadah yang paling digemari pengunjung. (Gambar ihsan dari pengunjung)
Banner menghiasi latarbelakang khemah sementara diterangi oleh lampu LED.
Cahaya dari unggun api menyinari malam hari.

Kami, pihak penganjur mohon maaf diatas sebarang kecacatan yang ada sepanjang acara ini dan menerima segala cadangan-cadangan yang diutarakan demi memperbaiki acara seterusnya. Sebenarnya banyak gambar-gambar yang menarik ingin dikongsikan disini dan insyaAllah kita bertemu lagi acara Kembara Durian di Sahom Valley Resort seterusnya jika diizinkan Allah.

Tulisan oleh: Shariff Ali b. Jabad Ali (Pengarah Urusan Sahom Valley Resort)

resort kampar murah campsite outdoor nature

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *