Taman Herba x FRIM

Beberapa bulan yang lalu, pihak pengurusan Sahom Valley Resort telah mengambil inisiatif untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk menaiktaraf Taman Herba yang sedia ada. Ini adalah untuk menambahkan lagi tarikan di Sahom Valley Resort di samping kemudahan-kemudahan penginapan dan aktiviti-aktiviti yang sedia ada.

Lawatan pertama daripada pihak FRIM yang diketuai oleh Dr. Fadzureena bersama-sama pihak pengurusan Sahom Valley Resort pada awal bulan Januari meliputi sesi perbincangan dan lawatan tapak di sekitar resort. Dalam lawatan kedua pula yang diketuai oleh Cik Madihah, bancian dan pengumpulan data telah dilaksanakan. Menerusi lawatan ini, terdapat lebih daripada 50 species herba telah dikenal pasti dan telah ditandakan.

Sesi pembetangan data oleh Cik Madihah

Seterusnya, pada awal bulan April, pihak FRIM telah membentangkan data-data yang telah dikumpul kepada pihak pengurusan Sahom Valley Resort dan pihak FRIM juga telah membentangkan kertas cadangan bagi menambah baik Taman Herba yang sedia ada.

Antara ‘tag’ nama pokok yang disediakan oleh pihak FRIM yang merangkumi ID, nama pokok serta kegunaannya dalam kehidupan seharian

Kami daripada pihak pengurusan Sahom Valley Resort amat berbesar hati dengan usaha dan kunjungan daripada pihak FRIM yang banyak membantu kami dalam cubaan kami untuk menghidupkan semula Taman Herba yang sedia ada di resort kami. Kami akan cuba sebaik mungkin untuk mewujudkan Taman Herba yang dapat menjadi hub rujukan kepada kesemua lapisan masyarakat termasuk pengunjung, pelajar, malah penyelidik setempat.

Dari kiri: Wakil SVR (Tn. Hj. Shariff Ali, Encik Nasaree) bersama-sama pihak FRIM (Encik Mohd Afendi Hussin, Cik Madihah Muhammad Nawi, Dr. Fadzureena Jamaludin)

5 Sebab Seseorang Perlu Keluar dan Menikmati Suasana Alam Semula Jadi

Dalam era teknologi ini, semakin ramai dalam kalangan masyarakat merasa keinginan dan keperluan untuk kembali menikmati suasana alam semula jadi yang semakin susah didapati jika bermukim di kota-kota metropolitan. Sebenarnya, terdapat banyak kelebihan jika seseorang mengambil masa untuk keluar dari kesesakan kota dan menghayati keindahan alam semula jadi. Mari kita lihat antara 5 sebab seseorang perlu keluar dan menikmati suasana alam semula jadi:

1. Mendapat ketenangan

Sudah tidak dapat disangkal lagi, kebanyakan masyarakat yang tinggal di kota akan mencari peluang untuk berada dalam alam semula jadi untuk menenangkan fikiran dan mencari ketenangan. Sungai-sungai yang mengalir laju, serta gunung-ganang yang menghijau semestinya mampu memberi ketenangan yang dicari dan mampu membuat kita merasa aman dan tenteram.

2. Melegakan tekanan

Sebagai seorang insan, kita tidak dapat lari daripada masalah dan stress. Namun, dengan berada dalam alam semula jadi yang indah, kita dapat melegakan sedikit sebanyak tekanan yang dihadapi dan dapat mencuri masa untuk muhasabah serta mengatur strategi untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi.

3. Menyihatkan tubuh badan

Daripada terperuk dalam bilik atau rumah, seseorang amat digalakkan untuk keluar dan melakukan aktiviti riadah di luar. Dengan menjalankan aktiviti-aktiviti outdoor yang bertemakan alam semula jadi seperti berkayak, ‘jungle-trekking’, berbasikal dan sebagainya, seseorang dapat mengeluarkan peluh dan dapat menyihatkan lagi tubuh badan. Selain itu, dengan keadaan udara kota yang kian tercemar, adalah sangat baik untuk seseorang menghirup udara segar alam semula jadi yang nyata lebih sihat untuk tubuh badan dan minda.

4. Meluaskan minda

Dengan berada dalam suasana alam semula jadi, seseorang dapat meluaskan minda dan persepsi. Mindanya tidak akan terhad kepada suasana metropolitan dan gajet sahaja, sebaliknya individu tersebut akan menjadi lebih terbuka dan lebih menghayati kehidupan secara keseluruhan.

5. Belajar menghargai khazanah semula jadi

Sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab, adalah sangat penting untuk kita peka dengan amalan-amalan yang dapat memelihara alam sekitar. Jadi dengan berada dalam keindahan alam semula jadi ciptaan Tuhan ini, kita dapat lebih menghargai khazanah bumi yang tiada ganti ini. Adalah sangat diharapkan agar setiap ahli masyarakat dapat sama-sama memikul tanggungjawab untuk terus menjada alam sekitar yang dianugerahkan kepada kita.

5 Kelebihan Buluh Sebagai Asas Binaan

Buluh merupakan bahan semula jadi yang sangat bagus untuk dijadikan bahan asas dalam pembinaan sesebuah bangunan atau fasiliti. Jika anda inginkan kelainan daripada batu bata dan simen, buluh ialah satu alternatif yang sangat baik! Mari kita lihat kelebihan-kelebihan buluh sebangan bahan binaan.

1. Mudah didapati

Buluh merupakan bahan semula jadi yang sangat mudah diperolehi, sama ada dikutip dari hutan atau ditanam sendiri. Oleh sebab yang demikian, penggunaan buluh secara tidak langsung dapat mengurangkan kos pembinaan.

2. Kuat

Jika diawet dengan betul, buluh dapat dijadikan tiang asas sesebuah binaan dan dapat bertahan untuk jangka masa yang lama. Ia juga boleh menampung berat yang tinggi.

3. Ringan

Berbanding kayu-kayu yang lain, buluh merupakan bahan yang ringan. Oleh sebab itu, ia tidak memerlukan jentera yang besar untuk mengendalikan kerja-kerja pembinaan. Selain itu, kos juga dapat dapat dikurangkan memandangkan ia tidak memerlukan begitu banyak tenaga kerja untuk mengendalikannya.

4. Mampan

Buluh boleh ditanam dengan mudah dan ia hanya memerlukan masa yang singkat untuk matang. Jadi, bahan ini merupakan bahan yang mampan dan bagus untuk ekonomi serta alam sekitar, jika hendak dibandingkan dengan kayu balak yang memerlukan masa yang lebih lama untuk matang.

5. Nilai Estetika

Keunikan dan keindahan kayu buluh menambah kepada nilai estetika sesebuah binaan. Contohnya, chalet-chalet Buluh yang terdapat di Sahom Valley Resort merupakan salah satu kebanggaan kami dan suasana di sekitar Kampung Buluh ini dapat mereplikasi suasana kampung orang asli yang susah didapati di tempat-tempat lain dalam era moden ini!

resort kampar murah

Kenangan Manis Kembara Durian 2020 di Sahom Valley Resort, Kampar, Perak.

Setelah 6 bulan berlalu, ramai sahabat yang bertanya bila lagi hendak buat Kembara Durian seterusnya. Kebiasaannya pada hujung tahun lepas atau awal tahun ini, musim durian di Kg Sahom kembali lagi. Mungkin merajuk dengan Covid 19 dan PKP, buah tidak menjadi. Oleh kerana terlalu merindukan acara sedemikian, saya teruja untuk mencatatkan kenangan manis acara lepas buat tatapan kita semua.

Deruan air Sungai Dipang di Camping Village milik Sahom Valley Resort sungguh mengasyikkan. Disinilah lokasi dimana Kembara Durian 2020 telah diadakan pada bulan Julai 2020 yang lalu. Seramai lebih 200 orang telah hadir di acara tersebut. Ianya adalah diluar jangkaan kami sebenarnya memandangkan SOP PKPB yang ketat terpaksa dipatuhi.

Setelah lock down hampir 4 bulan bermula bulan Mac 2020, ramai yang teruja untuk bercuti bersama keluarga tercinta. Pemilihan tapak di Camping Village Sahom Valley Resort adalah tepat sekali walaupun setahun sebelumnya Kembara Durian 2019 diadakan di kawasan Perkarangan Dewan Sahom Valley Resort. Suasana kehijauan dusun durian sekitarnya menepati tema acara kali ini iaitu Makan Durian Dalam Dusun.

Video clip sumbangan Gencos TV yang meliputi keseluruhan acara Kembara Durian 2020.

Peserta dari seluruh pelusuk negeri telah ramai-ramai datang memeriahkan suasana. Pelbagai jenis durian telah dihidangkan dan semua pengunjung dapat makan sampai puas. Buah durian Kg Sahom adalah antara buah durian kampung yang terbaik selain dari Batu Kurau di Negeri Perak ini. Buah rambutan dan manggis juga turut dihidangkan bersama-sama serawa durian yang dimakan bersama pulut yang menjadi kegemaran pengunjung. Sesi makan sampai puas diadakan dari jam 10 pagi hingga jam 3 petang. Manakala sebelah malamnya diadakan BBQ night dengan acara ice-breaking, pertunjukan tarian Sewang dan sesi beramah mesra bersama yang hadir.

Tetamu dari Korea turut hadir. Katanya ini pertama kali rasa buah durian dan sungguh enak. (Gambar ihsan dari Pn Jun)
Bersama dengan tetamu yang hadir. Kiri ke Kanan: Tn Hj Masri (Pengetua SMK Cenderiang), Pn Jun (Wakil Angkasa), tetamu dari Korea serta Tn Hj Shariff Ali (Pengerusi Koperasi Keluarga Rahmah Kampar dan juga pengusaha Sahom Valley Resort). (Gambar ihsan dari Pn Jun)

Oleh kerana tapak perkhemahan agak terhad, maka sebahagian pengunjung terpaksa menginap di chalet-chalet di Sahom Valley Resort yang jaraknya 1.5km dari Camping Village, dimana acara ini diadakan. Mereka dibawa ke Camping Village dengan menaiki kereta pacuan 4 roda memandangkan jalan yang becak menyukarkan kereta biasa ke sana. Menaiki kereta pacuan 4 roda juga beri satu pengalaman terutama bagi anak-anak yang ditemani ibu bapa mereka.

Di Sahom Valley Resort terdapat tiga pilihan penginapan untuk pengunjung, samada menginap di Kampung Warisan, Kampung Tepian Sungai atau Kampung Buluh. Kesemua unit-unit di Kampung ini penuh ditempah oleh pengunjung yang sama-sama menjayakan Kembara Durian ini.

Sahabat bermotoran dari Jabatan Bomba malaysia Putrajaya turut meriahkan acara. (Gambar ihsan dari pengunjung)

Malang sekali tarikh acara ini diadakan adalah pada musim hujan. Hujan yang berterusan lebih dua minggu telah menyebabkan jalan ke Camping Village agar berbecak, tetapi itu tidak melemahkan semangat pengunjung untuk sama-sama menikmati buah-buahan tempatan yang segar dari dusun. Walaupun sejumlah wang ringgit dibelanjakan untuk menambak jalan ke dusun dengan batu-batu kecil tapi apa kan daya hujan yang tak henti-henti menyebabkan jalan menjadi becak yang agak teruk juga. Ada ketika kami terpaksa menolak kereta-kereta yang tersangkut disebabkan jalan licin.

Teruja melihat kemeriahan pengunjung. (Gambar ihsan dari pengunjung)
Bergambar bersama pengunjung sebagai kenangan. (Gambar ihsan dari Pn Jun)

Pengunjung yang bermalam tidak melepaskan peluang beriadah di Sahom Valley Resort pada keesokan harinya. Antara aktiviti riadah kesukaan ramai ialah berkayak, flying fox, menunggang kuda, memancing dan bermandi-manda di Sungai Dipang. Pastinya kenangan 2 hari 1 malam di Sahom Valley Resort ini membawa kenangan yang manis pada mereka apabila pulang ke rumah masing-masing.

Panas badan setelah makan durian sepasang suami isteri sejukkan badan dengan berendam dalam sungai. (Gambar ihsan dari pengunjung)

Acara ini pastinya tidak dapat diadakan jika tiada rakan-rakan yang turut bantu menjayakannya. Disini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara Nas dari Gencos TV dan Pn Nonie yang bantu mempromosi acara ini melalui media sosial. Kepada pelajar SMK Cenderiang yang diketuai oleh Pengetua nya Tn Hj Masri yang tanpa penat lelah membantu hulur tenaga kerja beberapa hari sebelum hari acara diadakan. Juga kepada semua rakan-rakan lain yang membantu secara langsung dan tidak langsung, hanya Allah sahaja dapat membalas pengorbanan anda semua.

Sukarelawan dari SMK Cenderiang turut bantu persiapan tapak Camping Village sehari sebelum hari acara.
Mengalas perut untuk pekerja yang mengejar masa menyiapkan tapak acara.
Pembinaan “make shift toilet” yang mana dindingnya diperbuat dari buluh, bahan yang terdapat disekitar tapak
.

Antara tujuan Kembara Durian 2020 ini diadakan di Camping Village adalah untuk mempromosikan lokasi ini kepada orang ramai yang berminat untuk berkhemah di tepi sungai. Keluasan tapak 4 ekar yang dipenuhi dengan pokok durian dan pokok buluh memberi teduhan dari panas cahaya matahari. Air sungai yang jernih dan sejuk pasti memukau pengunjung yang datang. Kemudahan bilik air berpusat kini ada disediakan dan bekalan elektrik dijangka akan diperolehi dalam masa terdekat ini.

Terdapat sebuah penempatan orang asal dari puak semai yang terdapat tidak jauh dari tapak dan pengunjung boleh berjalan kaki sahaja sekiranya berminat untuk melawat kampung mereka.

Rehat sebentar setelah penat bekerja.
Menikmati pemandangan yang indah sekitar Sahom Valley Resort. (Gambar ihsan dari Pn Jun)
Pengunjung juga berkesempatan beriadah. (Gambar ihsan dari pengunjung)
Flying fox antara aktiviti riadah yang paling digemari pengunjung. (Gambar ihsan dari pengunjung)
Banner menghiasi latarbelakang khemah sementara diterangi oleh lampu LED.
Cahaya dari unggun api menyinari malam hari.

Kami, pihak penganjur mohon maaf diatas sebarang kecacatan yang ada sepanjang acara ini dan menerima segala cadangan-cadangan yang diutarakan demi memperbaiki acara seterusnya. Sebenarnya banyak gambar-gambar yang menarik ingin dikongsikan disini dan insyaAllah kita bertemu lagi acara Kembara Durian di Sahom Valley Resort seterusnya jika diizinkan Allah.

Tulisan oleh: Shariff Ali b. Jabad Ali (Pengarah Urusan Sahom Valley Resort)

resort kampar murah campsite outdoor nature

5 Sebab Sahom Valley Resort Merupakan Tempat menarik di Kampar

Sahom Valley Resort merupakan satu destinasi yang wajib anda kunjungi jika anda inginkan percutian terbaik di Perak. Tapi mengapa? Apa yang ada di Sahom Valley yang boleh membuatkan percutian anda percutian yang sangat bermakna? Mari kita lihat!

1. Suasana kampung – lain daripada yang lain

Sahom Valley terletak di lembah Kampung Sahom, Kampar Perak yang sangat cantik dan tenteram. Penginapan yang kami sediakan adalah berunsurkan rumah-rumah tradisional di mana anda dapat berkumpul dengan sanak saudara dan kawan-kawan dengan selesa. Di sini juga terdapat sebatang sungai yang jernih dan sangat sesuai untuk dinikmati oleh segenap pengunjung. Mari kita lihat suasana sekeliling Sahom Valley yang indah ini.

Kolam ikan yang sangat tenteram, tak kira pada waktu pagi, tengahari mahupun petang.
Pemandangan Gunung Gajah yang menempatkan Gua Tempurung. Begitu unik!
Sungai di tapak campsite. Sangat menyegarkan!

2. Banyak haiwan yang menarik

Bagi pengunjung yang datang dari kota, pasti akan tertarik dengan haiwan-haiwan ternakan yang kami pelihara di sini. Selain ayam dan itik, kami juga ada kuda, rusa, ayam keluk-keluk dan sebagainya! Bukan setakat itu, anda juga boleh menunggang kuda tersebut ataupun menaiki kereta kuda yang baru kami ‘upgrade’. Selain itu, di kolam bersebelahan surau pula, pengunjung dapat memberi makan ikan tilapia merah yang kami ternak dengan penuh kasih sayang!

Joyride oleh pengunjung bersama-sama kuda bernama Zorro! So handsome (the horse)!

3. Tanaman yang pelbagai jenis

Kami juga ada menanam pelbagai jenis tanaman di sekeliling resort ini. Dari tanaman jenis sayur-sayuran, kepada tanaman herba, dan seterusnya sawit. Produk terbaru kami ialah cendawan yang kami jual pada orang-orang tempatan – sangat sedap kalau digoreng! Kami juga ada Taman Herba yang masih dalam proses pembangunan. Insyaallah boleh dilawati dalam masa terdekat ini.

4. Berbagai-bagai aktiviti yang menghiburkan

Terdapat pelbagai aktiviti outdoor yang boleh anda lakukan di sini. Kami jamin percutian anda tidak akan membosankan dan akan menjadi percutian terbaik bersama-sama kaum keluarga dan rakan-rakan.

Water tubing merupakan salah satu aktiviti yang popular di sini!
Kayak pun apa kurangnya, dengan suasana yang sangat menenangkan – memang layan!

5. Staff dan komuniti tempatan yang mesra

Resort kami bekerja rapat dengan komuniti-komuniti di Kampung Sahom. Kebanyakan staff kami merupakan orang tempatan yang sangat banyak membantu dan sangat mesra. Kami di sini begitu mengalu-alukan kehadiran pengunjung luar, tak kira dari segenap pelusuk Malaysia dan kami amat berharap dapat menyediakan servis yang terbaik untuk anda!

Jadi apa tunggu lagi? Jika anda datang ke Kampar atau kawasan-kawasan yang berdekatan, singgah dan book dengan Sahom Valley Resort jika anda inginkan percutian terbaik di Kampar. Jika ada sebarang pertanyaan lanjut, terus click ke link Whatsapp kami dan kami akan berhubung dengan anda secepat mungkin.

We hope to see you here!