Dalam era teknologi ini, semakin ramai dalam kalangan masyarakat merasa keinginan dan keperluan untuk kembali menikmati suasana alam semula jadi yang semakin susah didapati jika bermukim di kota-kota metropolitan. Sebenarnya, terdapat banyak kelebihan jika seseorang mengambil masa untuk keluar dari kesesakan kota dan menghayati keindahan alam semula jadi. Mari kita lihat antara 5 sebab seseorang perlu keluar dan menikmati suasana alam semula jadi:
1. Mendapat ketenangan
Sudah tidak dapat disangkal lagi, kebanyakan masyarakat yang tinggal di kota akan mencari peluang untuk berada dalam alam semula jadi untuk menenangkan fikiran dan mencari ketenangan. Sungai-sungai yang mengalir laju, serta gunung-ganang yang menghijau semestinya mampu memberi ketenangan yang dicari dan mampu membuat kita merasa aman dan tenteram.
2. Melegakan tekanan
Sebagai seorang insan, kita tidak dapat lari daripada masalah dan stress. Namun, dengan berada dalam alam semula jadi yang indah, kita dapat melegakan sedikit sebanyak tekanan yang dihadapi dan dapat mencuri masa untuk muhasabah serta mengatur strategi untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi.
3. Menyihatkan tubuh badan
Daripada terperuk dalam bilik atau rumah, seseorang amat digalakkan untuk keluar dan melakukan aktiviti riadah di luar. Dengan menjalankan aktiviti-aktiviti outdoor yang bertemakan alam semula jadi seperti berkayak, ‘jungle-trekking’, berbasikal dan sebagainya, seseorang dapat mengeluarkan peluh dan dapat menyihatkan lagi tubuh badan. Selain itu, dengan keadaan udara kota yang kian tercemar, adalah sangat baik untuk seseorang menghirup udara segar alam semula jadi yang nyata lebih sihat untuk tubuh badan dan minda.
4. Meluaskan minda
Dengan berada dalam suasana alam semula jadi, seseorang dapat meluaskan minda dan persepsi. Mindanya tidak akan terhad kepada suasana metropolitan dan gajet sahaja, sebaliknya individu tersebut akan menjadi lebih terbuka dan lebih menghayati kehidupan secara keseluruhan.
5. Belajar menghargai khazanah semula jadi
Sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab, adalah sangat penting untuk kita peka dengan amalan-amalan yang dapat memelihara alam sekitar. Jadi dengan berada dalam keindahan alam semula jadi ciptaan Tuhan ini, kita dapat lebih menghargai khazanah bumi yang tiada ganti ini. Adalah sangat diharapkan agar setiap ahli masyarakat dapat sama-sama memikul tanggungjawab untuk terus menjada alam sekitar yang dianugerahkan kepada kita.